NASIONAL

Keberanian PAKATAN angkat calon Mahasiswa dipuji

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 30 APR: Pencalonan Mahasiswa dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) oleh Pakatan Harapan (PAKATAN) membuktikan gagasan itu menghargai dan mempercayai peranan Mahasiswa sebagai salah satu ejen perubahan.

Mahasiswa PAKATAN dalam kenyataanya berkata, Exco Mahasiswa Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Abdul Hannan Khairy yang diketengahkan sebagai calon PAKATAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayangan (N10), Perlis itu menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa di negara ini.

“Pencalonan itu boleh dijadikan sumber inspirasi kepada mahasiswa yang mempunyai keinginan bertempur di medan politik negara secara serius pada PRU akan datang.

“Pencalonan ini juga menunjukkan komitmen tinggi PAKATAN dalam usaha mereka membentuk keupayaan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa,” kata gerakan mahasiswa itu dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Na’im Brundage; Mahasiswa Amanah Nasional, Khuzairi Mazlan; Exco Mahasiswa Pemuda Bersatu, Abdul Hannaan Khairy dan DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti, Leong Yu Sheng.

“Mahasiswa PAKATAN juga mengucapkan tahniah kepada pemimpin-pemimpin PAKATAN yang telah diberikan tanggungjawab sebagai calon untuk PRU14 ini,” katanya.

Abdul Hannan, 24 adalah anak jati Kayang yang akan bertanding bagi kawasan itu pada PRU14 ini.

Pemegang ijazah sarjana muda kejuruteraan elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat itu adalah Exco Pemuda BERSATU dan menyertai parti itu sejak 2016.


Pengarang :