SELANGOR

Kehangatan semangat iringi Azmin umum Khairuddin sertai KEADILAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 APR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menyertai KEADILAN.

“Maka pada malam ini dengan penuh rasa gembira dan bersyukur saya ingin mengumumkan sahabat saya Yang Berhormat Mohd Khairuddin Othman membuat keputusan untuk bersama perjuangan kita,” katanya.

Pengumuman itu dibuat Mohamed Azmin ketika menyampaikan ucapannya pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan di tapak pasar malam Paya Jaras Tengah di sini, malam tadi.

Serentak dengan pengumuman itu, perkataan reformasi turut dilaungkan oleh kira-kira hampir 2,000 hadirin di tapak ceramah terbabit.

Mohd Khairuddin kemudiannya naik ke pentas sebelum dipeluk Mohamed Azmin untuk menyerahkan borang keahlian KEADILAN.

Bagaimanapun, sambutan orang ramai terhadap pengumuman Mohamed Azmin itu tidak berakhir di situ.

Ketika Mohd Khairuddin mengiringi Mohamed Azmin ke kenderaan untuk pulang, mereka berdua sekali lagi diserbu orang ramai yang ingin bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada kedua-dua individu yang menjadi tumpuan utama malam tadi.

Mohd Khairuddin turut dijulang oleh masyarakat tempatan yang menyambut baik keputusan beliau.

Keadaan berasak-asak itu menyebabkan petugas program terpaksa mengetatkan kawalan keselamatan.

=EZY=


Pengarang :