SUKANKINI

Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari cungkil bakat pemain remaja

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 APR: Seramai 576 peserta bawah 18 tahun menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari bermula 14 April lalu.

Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir berkata, kesemuanya mewakili 32 pasukan dari sembilan daerah Selangor berentap bagi merebut kejuaraan kali kelima itu.

Katanya, matlamat kejohanan bagi mengenalpasti bakat baru pemain remaja supaya dapat diketengahkan sebagai pemain negeri seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor dalam arena bola sepak Malaysia.

“Lebih membanggakan menerusi kejohanan tahun lalu, seramai 38 pemain telah diikat beberapa pasukan bawah 19 tahun negeri dan kelab antaranya Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Johor Darul Takzim (JDT), Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan juga Negeri Sembilan.

“Malah dua daripada pemain berkenaan telah diserap ke pasukan bawah 19 tahun kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), SMK USJ 23, Subang Jaya.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim dan Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Mohd Fauzi Mohd Ghazali.

Kejohanan kali ini melibatkan peserta yang terpilih melalui Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD).

Emran berkata, johan akan menerima wang tunai RM10,000 berserta pingat, sijil, piala iringan dan piala pusingan, sementara naib johan RM7,000 berserta pingat dan sijil, ketiga RM5,000 manakala tempat keempat RM3,000.

“Selain itu, terdapat juga Anugerah Pemain Terbaik, Penjaring Gol Terbanyak, Penjaga Gol Terbaik serta Pasukan Penyokong Terbaik.

“Sempena kejohanan kali ini penganjur turut mengelola Seminar Pengurusan Diri dan Masa Depan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia bagi memberi pendedahan awal kepada jurulatih dan pemain bola sepak remaja Selangor mengenai kerjaya dan masa depan sukan berkenaan.

“Perangsang Selangor sekali lagi menjadi penaja utama kejohanan dengan tajaan berjumlah RM150,000 buat kali kelima sejak 2014,” katanya.

Perlawanan akhir pada 12 Mei 2018 akan bertempat di Stadium Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

=EZY=


Pengarang :