NASIONAL

Kekal PAKATAN, tolak pimpinan korup Putrajaya – ADN Batu Tiga

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Rakyat perlu mengekalkan mandat sedia ada dengan memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk terus mentadbir Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, pimpinan korupsi di Putrajaya perlu ditolak, bagi menjamin pembinaan Malaysia baru yang lebih baik.

“Kekalkan mandat PAKATAN kerana telah terbukti di bawah Kerajaan Selangor kini, negeri ini lebih maju dan makmur serta kebajikan rakyat terus terbela.

“Pentadbiran sedia ada ini akan terus pastikan Selangor terus memimpin perubahan demi rakyat dan negara yang kita sayangi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Rodziah berkata, walaupun pelbagai politik negatif dimainkan pihak tertentu untuk memburukan imej negeri, namun pentadbiran Kerajaan Negeri terus kukuh mengangkat martabat rakyat.

Beliau berkata, komitmen itu menjadikan pentadbiran PAKATAN selayaknya perlu dikekalkan untuk terus menerajui kepimpinan bumi Darul Ehsan.

“Walaupun diasak dengan proses persempadanan semula khususnya di kawasan DUN Selangor yang bersifat tidak adil, tapi kebijakan rakyat telah mengubah Kerajaan Barisan Nasional, pada 2008.

“Pengundi Melayu, Cina dan India bijak memilih pemimpin terbaik yang bakal menjadi suara mereka di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat, berkuatkuasa 7 April ini.

Pembubaran dibuat selepas tempoh penggal pentadbiran Putrajaya berakhir.

Untuk rekod, Najib mula menerajui tampuk kepimpinan negara sejak 2009.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh pentadbiran Putrajaya, imej negara di mata dunia merosot dengan pelbagai laporan negatif media antarabangsa terhadap Malaysia.

Pada masa sama, pimpinan PAKATAN turut mendakwa kebajikan rakyat Malaysia dinafikan dengan pelbagai dasar menekan termasuklah pelaksanaan cukai rakus, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


Pengarang :