SELANGOR

Kekalkan kemajuan, sejahtera Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Rakyat Selangor perlu kekal bersatu bagi memastikan negeri itu kekal sejahtera dan membangun, kata Exco Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib.

Beliau percaya, walaupun wujud sentimen politik berbeza di negeri itu, namun jaminan kemajuan Selangor perlu dikekalkan, seiring mandat rakyat.

Justeru katanya, rakyat perlu membuat penilaian bijak bagi memastikan sebuah kerajaan telus dapat memegang mandat rakyat dengan baik.

“Rakyat Selangor rakyat yang bijak dan bermaklumat, tidak mudah hanyut dengan politik fitnah serta persepsi tetapi lebih kepada rasional juga berfakta melihat kepada prestasi.

“Maka, saya yakin rakyat Selangor mampu membuat penilaian bijak dan pilihan tepat,” katanya kepada SelangorKini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen, berkuat kuasa 7 April ini.

Pembubaran dibuat selepas tempoh penggal pentadbiran Putrajaya berakhir.

Untuk rekod, Najib mula menerajui tampuk kepimpinan negara sejak 2009.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh pentadbiran Putrajaya, imej negara di mata dunia berada pada tahap terendah, dengan pelbagai laporan negatif media antarabangsa terhadap Malaysia.

Pada masa sama, pimpinan Pakatan turut mendakwa kebajikan rakyat Malaysia terus dinafikan dengan pelbagai dasar menekan, termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


Pengarang :