NASIONAL

Kemuka calon ikut peraturan – Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 23 APR: Proses perbincangan mengenai pemilihan calon KEADILAN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu dipatuhi semua pihak selaras peraturan parti, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, proses sama dibuat sejak beberapa pilihan raya sebelum ini dengan mana-mana bahagian boleh mengemukakan cadangan calon untuk dipertimbangkan.

“Ia mesti melalui peringkat bahagian untuk mencadangkan, kemudian ke peringkat persekutuan untuk dipertimbangkan.

“Proses itu dibuat sejak beberapa pilihan raya lalu dan harus diikuti,” katanya kepada pemberita ketika program lawatan kerja dan menyantuni penduduk daerah Kuala Selangor.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengesahkan bahawa beliau melawat Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal hari ini ketika berada di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan perubatan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai apa yang dibincangkan di antara keduanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut enggan menyatakan sama ada senarai calon KEADILAN akan diturunkan malam ini.

Sebaliknya, beliau berkata ia akan diumumkan sebaik sahaja selesai sebelum tarikh penamaan calon.


Pengarang :