Perkhidmatan ECRL menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.
NASIONAL

Kerajaan BN khianat, beri pelepasan GST syarikat China laksana projek ECRL

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG, 18 APR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus membuat pengkhianatan dengan memberi pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada kontraktor projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC).

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan itu ibarat kata pepatah Melayu “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan”.

Beliau berkata ketika ini rakyat berdepan kos sara hidup tinggi, namun sebuah syarikat gergasi antarabangsa China yang menjalankan projek bernilai lebih RM60 bilion di Malaysia pula diberikan pelepasan GST.

“Projek ECRL ini adalah projek mendapat pinjaman dan dilaksanakan dari syarikat serta membawa pekerja China. Keuntungan berlipat ganda syarikat ini sememangnya sudah pasti, namun mengapa kelebihan diberikan kepada mereka tidak dikenakan GST, sedangkan syarikat tempatan menjalankan projek pembangunan juga tidak dikecualikan.

“Alasan projek berkepentingan rakyat Malaysia juga tidak logik diutarakan Kerajaan BN kerana selama ini terdapat banyak projek bernilai jutaan ringgit bagi pembangunan dikenakan cukai berkenaan.

“Lebih buruk lagi apabila pekerja tempatan dipinggirkan pemaju projek ini, yang mana sebelum ini dicanang-canang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media tempatan melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan sijil pelepasan GST kepada kontraktor ECRL dari syarikat negara China, CCCC setelah didedahkan Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pihaknya memberi sokongan bagi mempertimbangkan pelepasan oleh Kementerian Kewangan kepada CCCC kerana ia mengambil kira projek ECRL yang membabitkan dua kerajaan dan berkepentingan awam.

Zuraida berkata, PAKATAN percaya bahawa pelaburan asing itu penting dan seperti di Selangor dan Pulau Pinang, pelaburan dibawa kedua-dua Kerajaan Negeri itu dilihat dapat menjana ekonomi setempat.

“Kami juga tiada masalah dengan kedatangan para ekspatriat yang menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka dalam industri di negara ini. Namun, ia bukan seperti dilaksanakan BN sekarang.

“Perbuatan mereka ini bukan sahaja merosakkan ekonomi negara, tetapi menggadaikan kedaulatan negara dengan memberikan terlalu banyak kelebihan kepada negara asing terutamanya China.

“Maka, kami menyeru rakyat Malaysia sedar akan perkara ini dan menolak semua calon BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :