SELANGOR

Kerajaan Negeri lulus peruntukan naik taraf dewan dan surau Kampung Changkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 19 APR: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan bagi menaiktaraf dewan masyarakat dan juga surau Kampung Changkat, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebanyak RM73,000 peruntukan diluluskan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menambahbaik dewan masyarakat sedia ada.

Katanya, ia bagi memberi kemudahan kepada penduduk kampung mengadakan aktiviti kemasyarakatan.

“Difahamkan surau di kampung ini sudahpun uzur, disebabkan itu kita meneliti perkara ini melalui Tabung Amanah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sebanyak RM37,000 juga diluluskan untuk kerja naiktaraf surau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di depan ahli-ahli Persatuan Masyarakat Minang Gombak Bersatu (PMMGB) serta lebih 2,000 penduduk Kampung Changkat, malam semalam.

Mohamed Azmin turut berjanji meneliti permohonan pembinaan jambatan baru menghubungkan Kampung Changkat dengan Kampung Tengah, Kampung Kerdas dan Kampung Balang.

“Kita akan meneliti permohonan baru ini memandangkan pihak kami perlu berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terlebih dahulu.

“Penduduk Kampung Changkat tidak perlu bimbang, ini kerana Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran saya mengambil kira pembangunan tidak kira bandar mahupun kampung.

“Sebagai sebuah negeri contoh, Selangor perlu sentiasa ke hadapan dalam bentuk kemudahan kepada penduduknya,” katanya.


Pengarang :