BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri santuni usahawan India

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 APR: Kerajaan Negeri terus komited dalam usaha meneruskan program pembangunan usahawan India Selangor dalam menggilap potensi keupayaan golongan itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk menganjurkan program seperti itu supaya dapat menyiapkan peluang latihan kemahiran pekerjaan dan keusahawanan terutama kepada golongan terbabit.

“Saya percaya kita telah berjaya menggilap potensi daya keusahawanan golongan belia dalam kalangan masyarakat India.

“Program ini mampu untuk menjana mobiliti golongan B40 supaya mereka boleh keluar daripada putaran garis kemiskinan dan mengurangkan kebergantungan demi meningkatkan taraf kehidupan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor 2018 di Pusat Konvensyen Midlands, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, perkembangan perniagaan industri kecil dan sederhana adalah satu perkara penting dan signifikan kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi muda serta dapat menyuntik kesan yang lebih positif dalam suasana ekonomi hari ini.

“Oleh itu, adalah penting masa depan golongan milenials termasuk masyarakat India diberikan pembelaan supaya nanti kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi mempunyai kemahiran dan daya inovasi tinggi,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin turut menyerahkan sijil pernyertaan kepada 420 usahawan pelbagai bidang yang dirai pada majlis berkenaan.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut berkongsi pengalaman beliau bertemu dengan peserta program keusahawanan membabitkan golongan India yang sudah berjaya mengecapi kejayaan.

“Saya sendiri bertemu dengan peserta program keusahawanan ini dan terpegun dengan kejayaan yang dicapai mereka.

“Keberkesanan program pembangunan keusahawanan India ini mampu meningkatkan jaringan kemahiran keusahawanan yang menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi mereka,” katanya.

=EZY=


Pengarang :