NASIONAL

Kerajaan sementara perlu dikawal selia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 APR: Parti yang berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) disarankan menggubal satu akta khas komprehensif terhadap peranan dan kuasa dimainkan kerajaan sementara.

Penyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, hal itu kerana terdapat kebimbangan mengenai penggunaan semua aset milik negara serta perbelanjaan wang negara sepanjang tempoh kewujudan kerajaan sementara ini.

Katanya, pada masa kini tidak terdapat peruntukkan undang-undang yang khusus mengenai kuasa dan peranan yang boleh dimainkan oleh sesebuah kerajaan sementara.

“Isu kerajaan sementara kian mendapat tempat dalam negara kita semenjak akhir-akhir ini kerana rakyat negara ini sudah mula celik dengan ilmu pengetahuan am serta keadaan semasa yang menuntut supaya segala hak mereka dilindungi tanpa mengira masa.

“Apa yang dilakukan kini oleh kita lebih kepada amalan yang selalunya dibuat oleh negara-negara lain khususnya amalan yang dibuat di negara Britain dalam menghadapi proses pilihanraya.

“Ini penting bagi mengelakkan mana-mana pihak dalam sesebuah kerajaan sementara menyalahgunakan kuasa mereka sehingga menjejaskan hak rakyat serta menyebabkan berlakunya keadaan huru hara dalam negara,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Muzaffar berkata, akta khusus terbabit boleh merangka dengan lebih terperinci mengenai tugas dan tanggungjawab sesebuah kerajaan sementara serta memperuntukkan nama atau gelaran yang lebih sesuai untuk mereka yang memegang sebarang jawatan dalam kerajaan itu.

Katanya, sebarang pengunaan aset kerajaan serta perbelanjaan kewangan negara juga boleh dikawalselia dengan lebih terperinci melalui akta khusus ini.

“Melalui akta khusus terbabit juga, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa mereka sekali gus dapat memberi peringatan kepada semua pihak terlibat supaya tidak sesekali menyalahgunakan kuasa sementara yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Untuk rekod, sejak mencapai kemerdekaan 1957, Malaysia menghadapi 13 kali pemerintahan melalui kerajaan sementara.


Pengarang :