SELANGOR

Kesepaduan kukuh cengkaman kemakmuran Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 APR: Keunikan rakyat Selangor yang saling menghormati sesama insan membentuk satu kehidupan penuh harmoni tanpa persengketaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor negeri rencam dengan pelbagai kaum tetapi hidup aman dan penuh kesepakatan.

“Malam ini kita lihat begitu ramai orang Melayu, Cina India dan Sikh sebagai satu keluarga besar yang hidup aman damai, di Selangor.

“Kenapa kita aman? Sebab tiada (Tan Sri) Noh Omar di sini. Kenapa kita aman dan damai? Sebab tiada (Datuk) Jamal (Yunos) di dalam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Harapan Selangor, di Stadium Majlis Daerah Kuala Selangor, baru-baru ini.

Ketika berucap, skrin turut memaparkan gambar Jamal yang bertuala dalam satu himpunan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sambil disambut sorakan ‘boo’ daripada hadirin.

Mohamed Azmin secara sinis menyatakan Jamal ‘bakal’ Menteri Besar Selangor jika Umno menang dan menyerahkan mandat kepada rakyat membuat pilihan selaras proses demokrasi.

“Kalau tuan-tuan inginkan Menteri Besar yang memakai tuala, pilihlah calon Barisan Nasional.

“Tetapi kalau kalau tuan-tuan inginkan seorang Menteri Besar yang bertenaga, walaupun usia sudah lanjut tetapi nampak muda, pilihlah Pakatan Harapan Selangor,” katanya.

Katanya, Selangor berjaya mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mempunyai rizab simpanan hampir RM4 bilion.

“Walaupun diserang setiap malam jam 8 tetapi saya mampu berdiri tegak kerana bertekad untuk terus bekerja mengangkat martabat ummah dan rakyat Selangor,” katanya.


Pengarang :