SELANGOR

Kompaun, saman pemaju sambil lewa jaga kebersihan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 21 APR: Syarikat pemaju diarah supaya tidak bertindak sambil lewa terhadap aspek kebersihan di kawasan tapak pembinaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Bukit Gasing Rajiv Risyakaran menegaskan, tindakan saman akan dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekiranya pemaju berkenaan gagal mematuhi prosedur pembinaan ditetapkan.

Beliau berkata, ia susulan laporan berlakunya tiga kes denggi membabitkan peniaga di kawasan berdekatan tapak pembinaan.

“Hasil tinjauan kami mendapati, memang ada longgokan sampah yang tidak teratur yang dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk aedes sebelum ini.

“Perkara ini amat membimbangkan dan memerlukan pemantauan menyeluruh daripada pemaju dan pihak berkenaan agar jaminan keselamatan dan kesihatan warga Petaling Jaya terjamin.

“Sekiranya gagal, kompaun dan saman boleh dikenakan sebagai peringatan keras pihak majlis terhadap pemaju dan kontraktor terlibat,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, pemaju berkenaan membangunkan projek perumahan kondominium tidak jauh daripada premis perniagaan di Jalan 17/29 Seksyen 17, sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun kata Rajiv, tiga kes denggi membabitkan peniaga di kawasan itu pertama kali dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan.

“Namun saya percaya, berlaku kes denggi membabitkan pekerja-pekerja pembinaan yang tidak dilaporkan pihak pemaju dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan media di lokasi pembinaan mendapati kerja-kerja pembinaan diteruskan, dengan beberapa longgokan sampah mula dibersihkan selepas mendapat teguran wakil rakyat, Ahli Majlis dan MBPJ.


Pengarang :