NASIONAL

Kos sara hidup pengaruhi undi anak muda

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 APR: Isu kos sara hidup yang sekian lama membelit kehidupan rakyat menyuntik kesedaran golongan muda untuk melakukan perubahan tampuk pemerintahan negara dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Exco Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PBM), Abdul Hannaan Kahry yakin gelombang besar golongan muda akan turun membuang undi pada PRU14, pada 9 Mei depan.

“Pilihan raya kali ini menjadi penghitung menentukan arah aliran pengundi, khususnya golongan muda.

“Saya pasti anak muda bijak dalam membuat pilihan pemimpin yang mereka mahukan. Ini kerana pemimpin baik adalah pemimpin yang tahu mengurus tadbir dengan baik, penuh integriti, elak rasuah dan yang penting menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Selain itu, Hannaan berkata, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga banyak memberi kesedaran kepada pengundi untuk membuat keputusan yang lebih matang dalam PRU kali ini.

Ini kerana, katanya GST yang sebelum ini cuba digambarkan kerajaan sebagai cukai penyelamat ekonomi negara serta menampung perbelanjaan rakyat ternyata lebih membebani rakyat.

“Ditambah pula dengan barangan di pasaran semakin mahal dan rakyat amat terkesan kerana kuasa beli mereka makin berkurang,” katanya.


Pengarang :