Selangorkini
NASIONAL

Ku Nan berkhayal BN menang selesa

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 APR: Kenyataan kononnya Barisan Nasional (BN) akan menang selesa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan khayalan semata-mata.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, lebih aneh apabila keyakinan itu disuarakan setelah BN melihat kajian Oxford Economics yang menjangkakan parti berkenaan mampu menang berdasarkan manifesto menangani kenaikan kos sara hidup.

Katanya, tidak ramai rakyat di negara ini mengetahui kewujudan Oxford Economics jika dibandingkan dengan Institut Darul Ehsan, Merdeka Center dan Invoke.

“Walaupun kita boleh mempertikaikan kredibiliti Oxford Economicstetapi rakyat awal-awal lagi sudah mempertikaikan kredibiliti BN di mata mereka, tidak perlu kajian berjela.

“Menurut manifesto BN, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dinaikkan tetapi di mana sumber kewangan mereka (BN)? Jadi sudah tentu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dinaikkan jika BN menjadi pemerintah selepas PRU14,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kononnnya mengakui parti itu akan menang selesa kali ini.

Shamsul Iskandar berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak akan tumbang dengan mudah, pada PRU14 memandangkan semua isu yang berlaku, pada PRU13 sudah selesai.

“BN akan hadapi kesukaran kerana kesepakatan dalam pimpinan PAKATAN, kami menggunakan satu logo sama, malah sudah menetapkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia.

“Isu ketidaksepakatan bukan lagi masalah, jelas di sini yang akan menang selesa ialah PAKATAN bukannya BN,” katanya.


Pengarang :