PBTSELANGOR

Lahirkan masyarakat celik Al-Quran

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Program Shah Alam Quran Hour, di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam, 14 April ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata, penganjurannya dijayakan bagi melahirkan masyarakat celik Al-Quran di bandaraya itu.

Beliau berkata, pelaksanaannya juga sejajar matlamat MBSA mendidik masyarakat madani yang beradab serta menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan berkeperibadian mulia di Shah Alam.

“Melalui program ini, orang ramai yang hadir akan diperdengarkan dengan bacaan Al-Quran oleh wakil-wakil agensi dan jabatan serta penceramah jemputan Ustaz Zul Ramli M Razali.

“Antara surah-surah yang akan diperdengarkan adalah Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah dan Surah Al-Hujurat,” katanya dalam kenyataan media.

Program ini diadakan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, agensi / pejabat kerajaan / Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pelbagai lagi.

Orang awam yang berminat boleh menghubungi, Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Pembangunan Komuniti, Majlis Bandaraya Shah Alam, Khuzaifah Mat Noor, di talian 011-32604000.

=EZY=


Pengarang :