NASIONAL

Lakaran 2 suspek pembunuh Dr Fadi didedahkan

KUALA LUMPUR 23 APR: Lakaran wajah suspek lelaki yang dipercayai membunuh pensyarah warga Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma didedahkan dan diletakkan di pintu keluar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek dipercayai adalah warga Eropah atau Timur Tengah.

“Lakaran wajah suspek itu dibuat oleh pakar kami berdasarkan kenyataan daripada saksi.

“Mereka berkulit putih, mempunyai janggut, berbadan tegap, setinggi kira-kira 180cm, mereka menunggang motosikal jenis BMW GS atau Kawasaki Versys berwarna hitam semasa hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, hari ini.

Apabila ditanya sama ada lelaki masih di negara itu, beliau berkata: “Kami masih belum mendapat kepastian, bagaimanapun, kami sudah bekerjasama dengan agensi tempatan dan antarabangsa yang berkaitan,” katanya.

 

SUMBER: HARIAN METRO

FOTO: BERNAMA


Pengarang :