SELANGOR

Laluan peserta Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan berubah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 APR: Trek laluan peserta yang menyertai program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan mengalami sedikit perubahan bermula hari ini.

Pegawai Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, ia ekoran penutupan sementara sebahagian jalan di Persiaran Dato’ Menteri sepanjang tempoh dua tahun berkuatkuasa 5 April 2018 hingga 5 April 2020, bagi kerja pembinaan aliran transit ringan (LRT3).

“Justeru, bagi memastikan kerja pembinaan LRT3 berjalan lancar, kami telah menukar laluan peserta dengan jarak yang sama iaitu sejauh lima kilometer.

“Kalau sebelum ini peserta menggunakan Persiaran Dato’ Menteri sebagai laluan utama, tetapi untuk tempoh dua tahun ini peserta akan melalui jalan tengah antara Kompleks PKNS dan Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall.

“Seterusnya, peserta akan kembali ke Persiaran Perbandaran (Dataran Kemerdekaan), berhadapan Wisma MBSA,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, pihak MBSA berharap pengguna jalan raya termasuk orang ramai yang menyertai program tersebut dapat mengambil maklum laluan baru yang telah ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menggesa masyarakat khususnya seluruh warga Shah Alam untuk hadir merancakkan program Hari Tanpa Kenderaan yang berlangsung pada Ahad minggu kedua setiap bulan.

“Pengunjung boleh berkunjung ke pejabat bergerak Shah Alam On Wheels (SAOW) untuk menyemak dan membayar cukai taksiran serta kompaun.

“Tambahan pula, kami turut membuka peluang untuk orang ramai menyalurkan aduan dan cadangan bagi penambahbaikan perkhidmatan MBSA.

“Kami yakin dengan pembabitan masyarakat dalam program ini, keharmonian dalam sesebuah komuniti akan dapat dipertingkatkan,” katanya.


Pengarang :