GLOBAL

Lebih 100 peluru berpandu AS dan sekutu hentam Syria

MOSCOW 14 APR: Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melancarkan lebih 100 peluru berpandu cruise dengan sebahagiannya dipintas sistem pertahanan udara Syria.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia, peluru berpandu udara ke bumi itu dibedil AS, Britain dan Perancis dari laut dan udara mensasarkan kemudahan tentera Syria dan awam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Peluru berpandu terbabit dilancarkan dari kapal perang AS di Laut Merah serta pesawat di ruang udara Mediterranean dan pesawat pengebom strategik AS dari pangkalan udara Al-Tanf di sempadan Syria-Iraq.

Agensi berita Russia RIA Novosti melaporkan sejumlah peluru berpandu ditembak jatuh oleh Syria.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, sistem pertahanan udara Syria dihasilkan Soviet Union lebih 30 tahun lalu.

Sistem pertahanan udara Russia yang ditempatkan di Syria tidak digunakan bagi menangkis serangan hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly berkata, negaranya melancarkan peluru berpandu dari kapal frigate di Laut Mediterranean dan jet pejuang.

Parly berkata, aset berbeza digunakan untuk melancarkan peluru berpandu serentak dengan serangan AS dan Britain.

Britain pula menggunakan empat pesawat Tornado membedil peluru berpandu Shadow.

SUMBER: AFP


Pengarang :