GLOBAL

Liga Arab desak siasatan bebas krisis senjata kimia Syria

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Persidangan Kemuncak Liga Arab menggesa supaya siasatan antarabangsa dijalankan secara holistik terhadap jenayah penggunaan senjata kimia yang merebak di Syria, baru-baru ini.

Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Mohd Hakim Mohd Nor berkata, ia ekoran dakwaan yang mengatakan tentera Syria melancarkan serangan kimia sehingga timbul pelbagai konspirasi.

Katanya, Liga Arab bersama Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) turut bersepakat dalam melontarkan idea dan cadangan bagi melobi segala permasalahan, khususnya konflik politik yang melanda negara itu.

“Melihatkan isu di Syria semakin mendapat perhatian umum, maka tindakan meleraikan konflik ke atas perang di Syria harus diberi penekanan serius.

“Pembabitan kedua-dua pihak berupaya membebaskan negara Arab daripada terus dibelenggu kuasa asing.

“Walaupun Serantau Muslim dengan Liga Arab memiliki pandangan berbeza, namun kita tetap memperjuangkan matlamat sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serantau Muslim pada masa sama mencadangkan supaya resolusi pengeluaran dana kebajikan diluluskan bagi menampung pendidikan anak yatim, janda dan nasib ratusan ribu pelarian mangsa perang di Syria.

“Ini kerana, konflik menghantui rakyat di sana bukan sahaja boleh diselesaikan melalui dialog atau rundingan, tetapi dengan resolusi sebegini.

“Sekurang-kurangnya usaha ini dapat menghapuskan penderitaan rakyat dan mengurangkan angka korban di sana.

“Jika tidak, kita khuatir terhadap nasib warga emas, kaum wanita dan kanak-kanak di sana,” katanya.

Terdahulu, Pertubuhan Senjata Kimia Sedunia merakamkan lebih 390 insiden didakwa membabitkan penggunaan senjata kimia beracun di Syria sejak 2014.

Justeru, Serantau Muslim menyeru semua pihak mengenepikan agenda peribadi demi memberi nafas baru kepada rakyat Syria yang sekian lama tersepit antara kuasa kuasa besar dunia.


Pengarang :