KENYATAAN MEDIA

Logo KEADILAN pertaruhan bela nasib rakyat

Akhirnya khabar angin pembubaran parlimen menjadi kenyataan setelah Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen berkuatkuasa 7 April 2018 bagi membuka laluan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan.

Sepatutnya Dato’ Seri Najib akan kelihatan tenang dan yakin semasa pengumuman berkenaan tetapi bahasa badannya membayangkan sebaliknya. Beliau kelihatan serius dengan bahu yang kaku seolah-olah membaca pengumuman dalam keadaan terpaksa.

Ramai juga netizen yang berpandangan sama. Ada yang kata Dato’ Seri Najib nampak tersepit dan pucat.

Mungkinkah kerana beliau tidak ada pilihan lagi untuk umum? Mungkinkah kerana beliau tidak yakin strategi persempadanan semula dan mengharamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia boleh memenangkan Umno BN?

Takpelah, tiada manfaat apa pun untuk membaca isi hati atau gerak badan beliau sekarang. Yang penting parlimen telah dibubarkan dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bakal diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.

Rakyat berpeluang untuk memilih kepimpinan negara dan menentukan hala tuju negara untuk lima tahun ke hadapan.

“Ini bermakna telah tiba masanya kuasa memilih kepimpinan negara kembali ke tangan rakyat Malaysia,” ujar Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Presiden Pakatan Harapan.

“Gunalah kuasa membuat pilihan yang amat penting ini demi masa depan anak cucu dan generasi akan datang. Kuasa undi saudara bakal menentukan halatuju negara untuk lima tahun ke depan”, tambah beliau.

Tegasnya lagi, rakyat akan dapat memilih untuk mansuhkan GST atau kekalkan GST; untuk bersihkan negara dari najis rasuah atau kekalkan yang ada; untuk bina Malaysia yang lebih baik untuk semua atau kekalkan negara di tampuk lama.

Isyarat yang diberi Dato’ Seri Dr Wan Azizah itu amat jelas. Pertembungan dalam PRU-14 kelak ialah persaingan antara BN dan Pakatan Harapan.

Ini tambah jelas apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan telah mengumumkan di Pasir Gudang, Johor pada malam 6 April bahawa Pakatan Harapan akan masuk bertanding dalam PRU-14 menggunakan satu lambang iaitu logo KEADILAN.

Justeru, tidak timbul pergantungan kepada logo Pakatan Harapan yang kelihatan sengaja ditangguh-tangguhkan kelulusannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Tidak timbul isu pembubaran sementara ke atas PPBM.

Malahan tindakan penggunaan satu logo itu dilihat mematikan langkah Umno BN untuk menggagalkan kesepaduan dalam Pakatan Harapan. Ia dilihat menenggelamkan pelancaran Manifesto BN pada keesokkannya 7 April.

“Muafakat ini tercapai ekoran ROS tidak meluluskan permohonan pendaftaran PH dan membubarkan PPBM. Justeru keputusan menggunapakai satu logo yakni KEADILAN adalah satu keputusan besar yang menampilkan kesetiakawanan PH,” tegas Setiausaha Agung KEADILAN, Dato’ Saifudddin Nasution Ismail dalam kenyataannya pada 7 April.

“Keputusan yang bersejarah ini membuktikan muafakat yang jujur lagi ampuh di kalangan parti-parti komponen PH untuk benar-benar memberi saingan sengit dalam PRU-14,” ujarnya lagi.

Pada pendapatnya, ia juga membuktikan kebijaksanaan pimpinan dalam mengenepikan perbezaan dan sentimen untuk bersatu padu demi masa hadapan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.

Walaupun begitu, beliau insaf dan sedar keputusan tersebut bukan mudah untuk parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan terutamanya DAP dan Amanah. Masing-masing sudah tentu ada kebanggaan dengan logo partinya terutamanya DAP yang telah bertanding dengan logo mereka sejak berpuluh tahun lamanya.

Pengorbanan besar itu melambangkan ada sesuatu yang lebih besar dan penting untuk dicapai bersama iaitu membela dan memenuhi harapan rakyat dengan menumbangkan Umno BN dalam PRU-14.

“Keputusan DAP untuk tidak menggunakan logo Roket, yang sudah berada dalam kertas undi sejak sebelas pilihan raya bermula tahun 1969 hingga 2013, bukanlah satu perkara yang mudah, merupakan satu keputusan yang paling menyakitkan dan menyayat hati,” kata pengasas DAP, Lim Kit Siang dalam catatan blognya.

Namun katanya, PRU-14 mungkin satu-satunya peluang dalam beberapa dekad untuk menukar kerajaan Persekutuan dan untuk Malaysia mengambil langkah pertama dalam menjadikannya sebagai demokrasi yang normal, di mana pengundi dapat mengubah kerajaan secara aman dan demokratik.

Dalam keadaan BN yang didominasi Umno dengan sokongan bukan melayu yang merudum kepada MCA dan MIC, perpecahan dalam Umno sendiri, dakwaan skandal rasuah terhadap Dato’ Seri Najib dan pimpinan Umno dan bebanan GST serta kesusahan hidup rakyat, PRU-14 dilihat ramai pemerhati politik sebagai peluang terbaik kepada Pakatan Harapan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada 7 April, menyifatkan PRU-14 sebagai peluang terbaik untuk rakyat mengecapi udara bebas daripada beban dan karenah harga barang yang meningkat akibat cukai GST.

“Tidak bermakna bagi kalangan yang merasakan bebas tetapi hidup dengan permikiran terbelenggu, takut menyatakan yang hak dan menafikan rompakan besar yang berlaku seperti dalam skandal 1MDB dan Felda, “ ujarnya.

Baginya, dedak dan habuan yang diedar menjelang PRU hanyalah untuk mengekalkan kuasa.

“Kecuaian dan keengganan kita bertindak sekarang akan memerangkap kita di bawah pimpinan Umno BN; yang terus angkuh dan meneruskan budaya memunggah kekayaan memperkaya golongan kecil pemimpin,” tegasnya lagi.

Beliau menyeru rakyat terutama kalangan muda untuk tampil secara berani mendokong Agenda perubahan dan menyokong Pakatan Harapan dalam PRU 14.

Justeru, apakah tindakan kita?

Dengan pembubaran parlimen, parti-parti politik dalam Pakatan Harapan sudah tentu akan membuat persediaan bilik-bilik gerakan, bahan-bahan kempen, penentuan calon dan jentera di samping melipat gandakan usaha menyantuni rakyat dengan warkah “Buku Harapan” dan kisah kejayaan Selangor serta Pulau Pinang. Masa berteori sudah tamat. Masa sekarang ialah membuktikan dengan tindakan.

Sebagai rakyat biasa yang tidak terlibat dalam parti politik tetapi ingin memberi sumbangan bersama, mereka boleh menawarkan diri sebagai sukarelawan dengan menjadi petugas bilik gerakan, petugas pemasangan bendera, petugas program dan yang paling penting petugas ejen mengundi dan ejen mengira undi (atau ringkasnya PACA).

PACA amat penting sebagai benteng pemerhati kepada penipuan atau penyelewengan proses pengundian. Parti politik dan Invoke Malaysia sedang giat merekrut PACA tetapi jumlahnya belum mencukupi. Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk menawarkan diri dengan segera melalui parti-parti politik dan Invoke Malaysia.

Pertembungan PRU kali ini bukan semata-mata BN lawan Pakatan Harapan atau Umno lawan KEADILAN. Pertembungan kali ini ialah pertembungan rakyat yang perlu mengambil kuasa itu daripada kerajaan sebagai kuasa rakyat.

Rakyat ada kuasa dalam PRU kali ini untuk tentukan kerajaan yang bagaimana yang dikehendaki. Undi BN, undi Dato’ Seri Najib dan GST. Undi Pakatan Harapan, undi tokoh-tokoh negarawan dan pimpinan berpengalaman dan teruji, undi tolak rasuah dan GST untuk angkat martabat dan darjat bangsa dan negara Malaysia.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat


Pengarang :