OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 12 APRIL : Parti DAP tetap akur walaupun tidak boleh menggunakan logo roket pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ahli Dewan Negeri Kota Alam Shah, V Ganabatirau berkata, walaupun ia satu perkara yang amat sukar, namun DAP tetap mempersetujui untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
“Saya orang sejati dengan DAP, memang amat sukar untuk tidak menggunakan logo roket yang sudah 60 tahun dikenali umum, namun pada masa kini kita seharusnya akur.
“Ini bukan masanya untuk bersifat mementingkan diri, sedangkan kita di bawah parti Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu bersatu walau apa sahaja logo yang digunakan,” katanya kepada SelangorKini.
Ganabatirau berkata, sekarang bukan masanya untuk sesama parti memainkan ego siapa lebih besar, siapa lebih kuat tetapi ini masanya untuk bersatu melawan kuasa yang merosakkan Malaysia.
“Maka, saya percaya dengan logo KEADILAN ini, kita mampu bersatu demi menegakkan keadilan, pada PRU14,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keempat-empat parti dalam pakatan itu menggunakan simbol KEADILAN untuk PRU14.
Ia ekoran daripada kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang berkata, parti dalam PAKATAN perlu mendapat kebenaran SPR jika mahu menggunakan satu logo parti saja, pada PRU14.
PAKATAN adalah satu konsesus empat parti utama Semenanjung Malaysia iaitu KEADILAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).