NASIONAL

Lupakan masalah tertinggal IC, fokus isu ‘rompakan’ negara – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Pihak tertentu diingatkan supaya tidak memperbesarkan masalah lagi ‘tertinggal kad pengenalan’ melibatkan salah seorang calon Pakatan Harapan (PAKATAN) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU14), semalam.

Naib Presiden gabungan itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu skandal kewangan negara melibatkan pimpinan utama Kerajaan Persekutuan lebih besar dan perlu menjadi keutamaan umum.

“Mungkin calon kita itu terlalu teruja (bertanding). Jangan risau, beliau akan bekerja kuat di kawasan itu. Jangan dipersalahkan beliau lagi.

“Soalnya sekarang, mana satu lebih penting, pelupa kad pengenalan atau pencuri?” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Tautan Mahabbah Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad, petang ini.

Semalam, calon PAKATAN bagi kerusi Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yee Kew cemas apabila MyKad miliknya tertinggal ketika melengkapkan borang pencalonan (PRU14) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan kegagalan Yee Kew untuk menunjukkan kad pengenalnya, pegawai SPR tidak membenarkan proses pencalonan diteruskan.

Bagaimanapun, masalah berkenaan dapat diselesaikan selepas Yee Kew menunjukkan salinan kad pengenalannya sebelum waktu penyerahan borang tamat.

Sementara itu Sinar Harian melaporkan, Yee Kew yakin isu berkenaan tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berjuang mengekalkan kemenangan PAKATAN di kerusi berkenaan.

Beliau berkata, keyakinan pengundi terhadapnya sangat tinggi memandangkan komitmen berterusan yang ditunjukkannya di kawasan Parlimen berkenaan, sebelum ini.

=EZY=


Pengarang :