Selangorkini
PENDIDIKAN SELANGOR

LZS anjur kursus ‘Selangkah Ke Alam Pekerjaan’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 APR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Kursus Selangkah ke Alam Pekerjaan sebagai inisiatif membantu golongan mahasiswa bersiap siaga untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Program yang disasarkan kepada mahasiswa tahun akhir pengajian, akan berlangsung pada 27 hingga 29 April bertempat di Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Seksyen 13, di sini.

LZS menerusi Facebook berkata, kursus itu dilihat penting untuk mendedahkan mahasiswa ke alam pekerjaan sebenar yang mempunyai banyak cabaran perlu ditempuhi mereka kelak.

“Selain membolehkan mahasiswa mempraktikkan segala teori dipelajari di alam universti, ia dapat meluaskan dan menambah pengetahuan serta memberi peluang untuk mempelajari kemahiran baru.

“Di samping itu, mahasiswa dapat menanam sifat amanah, tanggungjawab dan keyakinan diri serta menilai kebolehan diri di alam pekerjaan sebagai persediaan bekerja sejurus tamat belajar.

“Program ini sekali gus dapat memupuk semangat kerja berpasukan, seterusnya memastikan perhubungan yang baik sesama pekerja,” katanya.

Pada masa sama, kursus itu turut menjadi platform terbaik menjadikan mahasiswa sebagai seorang yang lebih berdikari.

“Hal ini kerana mahasiswa harus belajar hidup sendiri tanpa kebergantungan terhadap ibu bapa, selain mengurus kewangan dengan cermat dan teratur,” katanya.

Sementara itu, kursus Selangkah Ke Alam Pekerjaan (SKAP) melibatkan 10 siri program dan mula dijalankan pada Mac sehingga September tahun ini mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Mahasiswa yang berminat untuk turut serta dalam program SKAP, boleh menghubungi Ustaz Hasif di talian 012-3179264.

=EZY=


Pengarang :