AGAMASELANGOR

LZS dilantikan MAIS ejen terimaan Wang Tidak Patuh Syariah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah melantik Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai ejen terimaan Wang Tidak Patuh Syariah (WTPS).

Dalam kenyataan, LZS memaklumkan, kesemua 27 cawangan LZS di seluruh Selangor bakal menyediakan perkhidmatan terimaan WTPS itu.

“WTPS merujuk kepada sebarang bentuk pendapatan atau perolehan hasil daripada perbuatan atau transaksi yang bertentangan dengan hukum syarak.

“Ia meliputi pengeluaran dan penjualan barang tidak halal, aktiviti yang tidak selaras dengan syariah, jual beli sekuriti yang tidak patuh syariah, manfaat konvensional, judi atau pertaruhan, riba atau faedah serta harta rasuah atau curi,” katanya.

Katanya, pemilik boleh menyerahkan WTPS di cawangan LZS sama ada dalam bentuk tunai, cek, kad debit dan kad kredit Islamik.

Manakala bagi harta bukan tunai, pemilik boleh menyerahkannya kepada Baitulmal MAIS.

Selain WTPS, Zakat Selangor turut dilantik sebagai ejen wakaf bagi Perbadanan Wakaf Selangor yang boleh menerima wakaf berbentuk tunai.

=EZY=


Pengarang :