AGAMASELANGOR

LZS kutip RM750 juta sepanjang 2017 babit 250,000 pembayar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 APR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM750 juta dengan membabitkan seramai 250,000 pembayar zakat di negeri itu bagi tahun 2017.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid, berkata kejayaan itu dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak melalui zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat harta, zakat fitrah, zakat saham, zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), zakat tanaman, zakat emas, zakat ternakan dan zakat perak.

“Secara keseluruhan, lebih 40 peratus atau lebih RM300 juta kutipan zakat tahunan adalah melalui kaedah Skim Berkat atau potongan gaji.

“Kaedah zakat melalui potongan gaji ini telah terbukti berkesan untuk memudahkan urusan pengeluaran zakat,” katanya pada Majlis Penghargaan LZS 2017 di Grand Bluewave Hotel di sini, malam tadi.

Jelasnya, setiap tahun LZS menerbitkan laporan prestasi kutipan dan agihan zakat di Selangor dalam bentuk penerbitan bercetak di akhbar-akhbar utama bagi mengelakkan persepsi ketidaktelusan agihan zakat yang menyebabkan kesukaran asnaf mendapatkan bantuan LZS.

Katanya, LZS juga sentiasa membuka pintu kepada masyarakat Islam di negeri itu untuk memberi maklum balas bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan LZS.

“Bahkan bagi mengelakkan berlaku sebarang keciciran, pihak LZS dengan kerjasama semua pihak telah mewujudkan pelbagai mekanisme serta saluran menjejaki asnaf memerlukan bantuan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :