AGAMASELANGOR

MAIS gesa NGO-i sedia depani cabaran dakwah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggesa Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran berdakwah kepada mereka yang bukan beragama Islam, mahupun beragama Islam.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, NGO-i juga harus lebih konsisten dan fokus terhadap sesuatu isu bagi memastikan agenda membantu golongan sasaran keluar daripada kepompong masalah dapat dicapai secara komprehensif.

Katanya, isu membabitkan akidah dan sosial masyarakat Islam pada masa kini tidak boleh dipandang enteng, malah semua pihak bertanggunjawab mengekang konflik berkenaan.

“Misalnya, isu ajaran sesat, kalimah Allah, anak luar nikah (bapa biologi) dan tuntutan ‘Sistem In Islam’ perlu dititikberatkan.

“Selain itu, hubungan kerjasama dengan agensi awam dan swasta perlu dijalinkan dalam setiap pelaksanaan program dakwah bagi mendepani ancaman sedia ada.

“Ia termasuk ancaman pemikiran Liberalisme, Pluralisme, Ekstremisme, Atheist dan Agnostik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan NGO-i MAIS Negeri Selangor 2018, di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohammed Khusrin turut mengingatkan anggota NGO-i MAIS supaya bersatu dalam setiap tindakan yang diambil bagi menjamin keutuhan silaturrahim semua pihak.

“Dalam mendepani isu dan cabaran masa kini, pendekatan nilai kesatuan amat penting untuk memastikan tindakan dapat dilaksana secara bersepadu,” katanya.


Pengarang :