AGAMASELANGOR

MAIS: Pastikan masjid & surau bebas daripada kempen parti politik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengingatkan parti politik tidak menjadikan masjid dan surau tempat berkempen sempena Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Peringatan awal itu dikeluarkan MAIS melalui surat kepada semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau seluruh Selangor berkuatkuasa 7 April 2017.

Melalui surat berkenaan, Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin berkata, AJK masjid dan surau perlu memastikan sebarang bentuk ceramah, tazkirah atau penerangan tidak mengandungi elemen kempen parti politik.

“MAIS mahu memastikan masjid dan surat sebagai pusat ibadah, pusat ilmu, pusat penyatuan ummah, zon aman dan bebas politik serta bebas kepartian sebagaimana dinyatakan Peraturan 18(1) dan Peraturan 30(1) Peraturan-peratuan Masjid dan Surau Selangor 2017.

“Arahan ini juga selaras dengan hasrat MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta titah dari Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri, maka semua ajk masjid dan surau hendaklah mengambil perhatian,” katanya.

MAIS melarang sama sekali bentuk ceramah, tazkirah dan penerangan yang mengandungi elemen kempen bagi parti-parti politik tertentu di dalam dewan solat utama atau di dalam kawasan masjid atau surau seperti dinyatakan dalam Peraturan 70(2)(c).

Bakhtiar berkata, parti politik tidak dibenar meletakkan bendera atau poster calon untuk meraih undi di kawasan masjid dan surau termasuk di pagar.

“MAIS tidak mahu masjid dan surau dijadikan tempat berpolitik yang boleh memecahbelahkan ahli kariah seperti kehendak Peraturan 80(2) Peraturan-paraturan Majlis dan Surau Selangor 2017,” katanya.

=EZY=


Pengarang :