AGAMASELANGOR

MAIS saran peruntukan untuk NGO-i ditambah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mencadangkan supaya peruntukan sebanyak RM1 juta setahun kepada 78 Organisasi Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) ditambah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, berkata pada masa ini, secara purata NGO-i terbabit menerima kira-kira RM20,000 setahun.

“Pada masa ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan RM1 juta setahun dengan purata untuk setiap NGO-i sebanyak RM20,000.

“RM20,000 satu jumlah yang agak kecil di mana hanya boleh biayai satu atau dua program sahaja sedangkan cabaran NGO-i untuk melaksanakan kerja dakwah di Lembah Klang ini agak besar berbanding di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Organisasi Bukan Kerajaan Islam (NGO-i) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Bil 1/2018 di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pagi tadi.

Jelasnya, sebagai pusat tumpuan pencari pekerjaan daripada seluruh negara menyebabkan Lembah Klang berhadapan pelbagai masalah gejala sosial dan lain-lain.

Terdahulu, kira-kira 500 peserta daripada 78 NGO-i seluruh Selangor menghadiri persidangan yang sarat dengan pelbagai pengisian ilmiah.

Antaranya, acara forum yang membincangkan tajuk Kesatuan Ummah Melalui Gerakan Dakwah NGO-i yang berkesan.

Forum itu membariskan penceramah terkenal, Pengerusi Malaysian Indian Reverted Muslim Association (MIRA), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah; Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; Presiden Pertubuhan Jaringan Perpaduan Global (UNITY), Bro Shah Kirkit Kalkulal Govidji dan Sukarelawan Badan Kebajikan Orang Asli Semenanjung, Jasni Ajom.

=EZY=


Pengarang :