NASIONAL

Majikan halang pekerja mengundi boleh didenda

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 10 APR: Majikan akan didenda RM5,000 dan penjara setahun jika tidak membenarkan pekerja keluar mengundi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Ia diperuntukkan mengikut subseksyen 25 Akta Pilihan Raya 1958.

Mana-mana majikan dikehendaki memberi tempoh munasabah kepada pengundi yang bekerja dengannya untuk keluar mengundi.

Malah, tiada majikan boleh membuat potongan gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya penalti kerana tidak hadir kerja dalam tempoh berkenaan.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh mengundi, pada 9 Mei ini.

Manakala, hari penamaan calon ditetapkan pada 28 April dan hari mengundi awal pula pada 5 Mei ini.

Tempoh berkempen yang ditetapkan selama 11 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, pada 8 Mei ini.

Beliau membuat pengumuman berkenaan di bilik mesyuarat utama Menara SPR, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Hashim berkata, seramai 14,940,624 juta rakyat Malaysia layak mengundi kali ini.

Manakala, PRU kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Mohd Hashim berkata, pengundi dalam bahagian pilihan raya boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui www.spr.gov.my.

Selain itu, pengundi boleh menghantar SMS dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> No Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888 mulai 16 April ini.

Pengundi juga boleh menelefon Ibu Pejabat SPR di Putrajaya (03-88927018).


Pengarang :