BERITA UTAMASELANGOR

Manifesto BN Selangor? PAKATAN sudah laksana lebih awal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 12 APR : Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan Barisan Nasional (BN) Selangor hanya bersifat kitar semula tanpa wujud agenda pelaksanaan baru.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAKATAN sudah lebih awal melaksanakan manifesto berkenaan di bawah dasar Inisiatif Peduli Rakyat.

Beliau merujuk kenyataan manifesto BN yang kononnya mahu meningkatkan kelancaran perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor, di negeri itu.

“Mereka mahu memperkasakan perkhidmatan Bas Smart Selangor? Nak perkasa apa, kami di Selangor sudah laksanakannya lebih awal (berbanding mereka).

“Inilah mereka, baru turun ‘bekerja’ pada minggu ini (ketika musim pilihan raya). Tetapi pentadbiran Selangor dan pasukan saya sudah bergerak serta bekerja, sejak awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017, MPKj di Dewan Seri Cempaka, petang ini.

Terdahulu, BN Selangor melancarkan manifesto 10 perkara merangkumi 100 inisiatif fokus untuk rakyat Selangor kononnya bakal dilaksanakan jika berjaya merampas semula negeri itu, pada PRU14.

Manifesto bertemakan ‘Better Selangor Yakinlah. BN Lebih Baik!’ itu dilancarkan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Ia menggariskan lima matlamat utama yang ditawarkan kepada rakyat negeri itu yang sememangnya sudah dilaksanakan pentadbiran PAKATAN.


Pengarang :