Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN.
NASIONALPENDIDIKAN

Manifesto Pemuda BN tak selesai kemelut PTPTN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 APR : Manifesto Pemuda Umno Barisan Nasional gagal menyelesaikan kemelut yang dihadapi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Pemuda Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, manifesto berkenaan hanya tertakluk ketika pilihan raya dan tidak diaplikasi secara menyeluruh.

“Ini terbukti apabila dalam manifesto Pemuda Barisan Nasional yang baru dilancarkan hanya memberi jaminan kepada lebih sejuta pelajar universiti yang akan menerima bantuan PTPTN sahaja.

“Sedangkan, jalan penyelesaian untuk lepasan graduan mengurangkan beban untuk membayar semula pinjaman tidak disentuh.

“Apa yang Pemuda HARAPAN tawarkan kepada peminjam ini adalah dengan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN selain daripada menangguhkan pembayaran balik ke atas peminjam yang bergaji RM4000 ke bawah sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Nik Nazmi mendedahkan, seramai 447,890 daripada 790,186 rakyat Malaysia yang disenaraihitamkan imigresen adalah peminjam PTPTN bagi tempoh sehingga November 2017.

“Jumlah ini agak membimbangkan kerana separuh daripada yang disenaraihitamkan adalah peminjam PTPTN,” katanya.

Pada 10 April lalu, Pemuda Barisan Nasional dalam manifestornya bertekad untuk melaksanakan lapan jaminan manifesto parti itu.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, ia kononnya bagi memastikan kelangsungan kebajikan golongan muda terpelihara di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Manifesto Khas BN mengangkat tema ‘Jaminan Orang Muda : Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda’.

 


Pengarang :