SELANGOR

Masih ada pengundi yang keliru – Haniza

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 30 APR: Masih ada pengundi keliru dengan ketiadaan PAS dalam barisan Pakatan Harapan (PAKATAN), demikian menurut Calon N20, Lembah Jaya, Haniza Talha.

Katanya, oleh itu tugas utama calon PAKATAN adalah menyelesaikan kekeliruan berkenaan sebelum meminta pengundi memilih calon yang perlu ‘dipangkah’.

“Ketika saya turun padang bertemu pengundi, memang masih ada pengundi yang keliru dan bertanya soalan kepada jentera kami, lebih-lebih lagi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya adalah PAS yang berjaya memenangi kerusi berkenaan ketika masih bersama PAKATAN.

“Rata-rata pengundi juga mengakui masih mahukan PAKATAN kerana kerajaan ditadbir Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyediakan pelbagai kemudahan buat rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Haniza berkata, beliau juga seringkali menjelaskan dirinya bakal bertanding tiga penjuru kepada pengundi sekitar Lembah Jaya.

“Kali ini saya bertemu dengan penyandang, Khazim Abdul Aziz (PAS), Muhamad Nizam Shith (BN) dan Norizam Mohamad (PRM), saya perlu jelaskan pada pengundi bahawa PAKATAN bertemu tiga penjuru.

“Begitu juga penggunaan bendera KEADILAN sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kali ini telahpun diseragamkan untuk semua parti dalam PAKATAN,” katanya.

Haniza mengakui ketiadaan PAS dalam PAKATAN tidak menjadi masalah besar berikutan barisan PAKATAN kini terdiri daripada pemimpin berkaliber dan mampu mentadbir negeri dengan baik.

“Kita sudah pegang Selangor 10 tahun dan pelbagai kemudahan rakyat terima, jadi saya yakin tidak mungkin rakyat mahu parti yang lain, mereka hanya ‘pilih biru yang lebih muda’,” katanya.


Pengarang :