SELANGOR

Masjid Cyberjaya 10 bernilai RM12.5 juta diserah kepada JAIS

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 13 APR: Sterling Group (anak syarikat EMKAY GROUP) menyerahkan Masjid Cyberjaya 10 dengan kos pembangunan RM12.5 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di sini, semalam.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, JAIS merakamkan jutaan terima kasih kepada syarikat itu kerana sudi membiayai projek pembangunan masjid berkenaan.

“Saya percaya hasil kerjasama berterusan dari syarikat tempatan dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat akan mampu menarik lebih banyak syarikat gergasi lain untuk mencontohi dan seterusnya membiayai projek pembinaan masjid, pada masa akan datang.

“Penyerahan ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan masjid di negeri ini adalah 421 buah,” katanya ketika berucap pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat serta Penyerahan Masjid Cyberjaya 10 kepada JAIS.

Pada masa sama, Haris berkata, orang ramai dinasihat supaya tidak menjadikan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik dan memecahbelahkan perpaduan ahli kariah seperti kehendak Peraturan 80 (2) Peraturan-peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017.

Berikutan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir, beliau turut menegaskan dan melarang sama sekali bangunan utama serta kawasan masjid juga surau termasuk pagar digantung atau dipacak bendera parti politik yang bertanding.


Pengarang :