BERITA UTAMASELANGOR

MB dan Ahli MMKN kembalikan kenderaan rasmi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Azmin Ali, bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri secara rasmi memulangkan kenderaan rasmi kerajaan selepas Dewan Negeri Selangor (DNS) dibubarkan secara rasmi, berkuatkuasa hari ini.

Majlis penyerahan kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, berlangsung, di Dataran SUK.

Mohamed Azmin dalam sidang media sebelum itu memaklumkan, pihaknya akan berfungsi sebagai Kerajaan Sementara (caretaker government) dan akan mematuhi peruntukan serta garis panduan dibenarkan dalam tempoh itu sehingga kerajaan baru dibentuk.

“Kami sudah membuat keputusan tiada lagi sebarang mesyuarat Exco, tiada keputusan akan dibuat sehingga kerajaan baru ditubuhkan dan tiada kelulusan untuk sebarang projek.

“Semua ini terkandung dalam garis panduan pekeliling yang sudah ditetapkan Setiausaha Kerajaan Negeri. Kita akan mematuhinya selaras dengan peruntukan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, Speaker DNS, Hannah Yeoh, menerusi Setiausaha DNS akan menghantar notis pemakluman pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Katanya, tempoh mandat Kerajaan Negeri akan berakhir, pada Jun ini.

Pada sebelah pagi, Mohamed Azmin mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Alam Shah, Klang bagi memohon perkenan supaya Dewan Negeri Selangor ke-13 dibubarkan, berkuatkuasa hari ini.

Sultan Sharafuddin memberikan perkenan dengan menandatangani Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor ke-13 seperti diperuntukkan dalam Fasal (2) Perkara LXX (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.


Pengarang :