BERITA UTAMASELANGOR

MB: Integriti kunci utama asas pentadbiran

OLEH AFIX REDZUAN

UKAY PERDANA, 7 APR: Pentadbir masjid diingatkan supaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan amanah supaya dapat menarik jemaah khususnya anak muda mengimarahkannya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelbagai program perlu diadakan untuk memperkukuh ukhwah setempat selaras dengan hasrat pembinaan masjid berasaskan ketaqwaan.

“Mana-mana individu yang memegang jawatan dalam pejabat awam seperti masjid terikat dengan soal integriti dan keyakinan.

“Urus tadbir yang cekap, telus dan berintegriti diperlukan supaya ia dapat diterjemahkan dengan baik,” katanya.

Bercakap sempena Sambutan 100 Hari Masjid Ukay Perdana, beliau melahirkan kegembiraan atas inisiatif diambil pihak masjid terutama dalam menarik anak muda menerusi penganjuran program seperti tazkirah, larian dan riadah.

Menurutnya, anak muda kini teras kepada masyarakat akan datang dan perlu dibimbing supaya dekat dengan masjid serta tidak mudah mendekati gelaja tidak sihat.

Mohamed Azmin sebelum itu menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Ukay Perdana yang menyambut hari ke-100 pembukaannya pada 6 April lalu.

Beliau turut menyampaikan cenderahati kepada Norhaslin Abdul Rahman yang terpilih sebagai jemaah ke-100 hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nazir Masjid, Datuk Ismail Sulong menyatakan kesediaan pihaknya untuk menyahut konsep ‘Smart Masjid’ yang diperkenalkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selari dengan hasrat Kerajaan Negeri.

Katanya, Masjid Ukay Perdana menggunakan konsep ‘4T’; Taaruf, Tafahum, Tawaaun dan Tasamuf dalam konsep pentadbiran serta memperkukuh jemaah.

=EZY=


Pengarang :