BERITA UTAMASELANGOR

MB: Jamin terus semarakkan IPR demi rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 23 APR: Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk terus komited menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dalam usaha meringankan bebas kos sara hidup rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menyedari kos sara hidup yang tinggi ketika ini, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk merancakkan usaha itu.

Katanya, ia selaras gagasan membangun bangsa dan memakmur negeri yang dilaungkan Selangor.

“Lebih 42 IPR dilaksanakan sejak 2008. Ia semata-mata mahu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Rakyat ketika ini cukup terbeban dengan pelbagai kenaikan dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Kerja dan Menyantuni Rakyat ke Daerah Kuala Selangor.

Mohamed Azmin berkata kemampuan Selangor melaksanakan program IPR menunjukkan ketokohan kepimpinan negeri yang telus dan berwibawa.

“Kepimpinan ini dengan memegang prinsip dalam Al-Quran, menjadikan Selangor akhirnya muncul sebagai sebuah negeri yang maju.

“Kedudukan yang kukuh, maka Kerajaan Negeri mampu laksanakan IPR,” katanya.

Katanya, kemampuan Selangor dalam menerajui idea-idea baru mampu menjayakan program progresif, sekali gus menjadi contoh kepada negeri lain.

“Sebagai contoh, kita membelanjakan sebanyak RM375 juta bagi program Hijrah, RM100 juta bagi Kasih Ibu Smart Selangor, RM200 juta setahun bagi Air Percuma dan RM125 juta bagi Skim Peduli Sihat.

“Kos-kos ini ditanggung Kerajaan Negeri sedia ada. Ini kerana Kerajaan Negeri ketika ini berwibawa, bertanggungjawab, amanah dan telus,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua rakyat Selangor untuk terus memberi mandat kepada PAKATAN.

“Jika ingin sebuah kerajaan stabil, peduli rakyat, hormat pada kaum dan agama serta berintegriti, pertahankan kerajaan negeri hari ini.

“Kita akan terus laksanakan agenda peduli rakyat. Kami akan pikul amanah membangunkan negeri ini dengan jujur dan amanah,” katanya.

=EZY=


Pengarang :