SELANGOR

MB mahu MDKL komited rancak ekonomi

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) terus komited merancakkan ekonomi dan pembangunan daerah itu.

Beliau berkata, MDKL bertanggungjawab memastikan pelaksanaan Rancangan Tempatan Kuala Langat (RTKL) 2030 direalisasi.

Katanya, Kerajaan Negeri mahu pembangunan berdaya huni dilaksanakan selaras aspirasi Selangor sebagai Smart State.

“Kuala Langat kini satu daerah yang pertumbuhan industri meningkat naik. Banyak taman-taman perumahan daripada pemaju besar sedang dibangunkan.

“Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dan MEX II juga sedang dalam pembinaan. Ini menyuntik dinamis, kemajuan industri membolehkan peluang pekerjaan dicipta.

“Penggunaan tebus tanah juga tinggi. Dengan pelaburan yang datang ke Kuala Langat, anak-anak muda boleh bekerja dengan baik bukan lagi sebagai buruh kasar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Majlis Daerah Kuala Langat dan Penyerahan Lori Arm Roll, di sini.

Terdahulu, daerah itu turut mendapat pelabur dari syarikat ketiga terbesar dunia dengan nilai pelaburan RM1.2 bilion.

Ketika ini, MDKL giat membangun dengan menawarkan kawasan perumahan seluas 11,191.76 hektar, perniagaan (754.58 ekar) dan perindustrian (5,275.63 hektar) berdasarkan RTKL 2030.

Ia sekali gus membuka lebih peluang serta penawaran ruang perniagaan serta pelaburan dalam daerah Kuala Langat.

Terdahulu, MDKL dikenali sebagai Lembaga Bandaran Banting pada 1970, dan dikenali sebagai MDKL pada 1 Januari 1977.

Unjuran penduduk daerah itu kini berjumlah 300,000 orang.


Pengarang :