SELANGOR

MB: Noh tak faham, saman Splash tiada kaitan Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 17 APR: Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang kaitan mengenai tuntutan saman RM4.22 bilion Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Sehubungan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tuduhan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, bahawa Kerajaan Negeri akan muflis jika gagal menjelaskan bayaran terhadap tuntutan tu tidak berasas sama sekali.

“Ini membuktikan Umno-BN tidak mempunyai tokoh yang dapat memahami urusan ekonomi atau mengurus negara dan negeri.

“Yang disaman ialah Syabas dan bukan Kerajaan Negeri maka tiada hubungan terhadap ‘consolidated fund’ atau rizab yang ada dalam Kerajaan Negeri hari ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pecah tanah rumah Selangorku Idaman PKNS di Kampung Seri Temenggung di sini, hari ini.

Mengulas kes tuntutan saman Splash terhadap Syabas, Mohamed Azmin berkata, syarikat itu pasti akan mengambil langkah membela dan mempertahankan kedudukannya di mahkamah nanti.

“Ketika ini (kes itu) memang tiada hubungan dengan Kerajaan Negeri dan tiada kaitan dengan ‘consolidated fund’ atau rizab dimiliki,” katanya.

Terdahulu, Noh membuat tuduhan Kerajaan Negeri akan muflis jika tidak berkemampuan membayar hutang RM4.22 bilion dituntut Splash itu kerana Selangor didakwa hanya memmiliki rizab sekitar RM3 bilion dan mustahil membayarnya.

Pada 9 April lalu, Splash menyerahkan writ bersama dengan pernyataan tuntutan kepada Syabas bagi menuntut semua hutang tertunggak berjumlah RM4.22 bilion.


Pengarang :