SELANGOR

MB: Perhebatkan program CSR, bantu asnaf seluruh negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, komitmen itu diperlukan bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin dan anak-anak yatim memerlukan di seluruh negeri.

“Kerajaan Negeri mendukung sepenuhnya sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk membangunkan tanggungjawab sosial sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir menyerahkan bantuan dan keperluan sumbangan daripada Tautan Mahabbah Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad, di Seri Gombak, hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan bantuan kewangan RM30,000 disalurkan Badan Koperasi itu kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha, Gombak.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menegaskan penyerahan bantuan bukan disalurkan daripada peruntukan Kerajaan Negeri.

“Bantuan ini merupakan hasil inisiatif daripada badan kpperoasi ini dan ia bukan daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Saya tidak mahu ada dakwaan daripada pihak tertentu yang mengaitkan bantuan ini diserahkan berkait kempen pilihan raya.

“Saya cuma bertindak untuk menyampaikan bantuan ini bagi pihak mereka dan menggalakkan penglibatan sama daripada pertubuhan lain untuk melaksanakan dasar berkebajikan ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :