AGAMASELANGOR

MB: Perlu kreatif tarik golongan millennial imarah masjid dan surau

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 APR: Jawatankuasa pengurusan Masjid dan Surau harus lebih kreatif dalam melaksanakan aktiviti bagi menarik golongan millennial mengimarahkan institusi itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu bagi memastikan masjid boleh dijadikan pusat pembangunan tamadun umat Islam di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM400 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi Belanjawan 2018 bagi memperkasakan Islam.

“Kita mesti mengambil tindakan inovatif dan kreatif bagi menarik lebih baik jemaah.

“Saya tidak ada masalah, jika mahu minta karpet baru atau tambah penghawa dingin, bangunan baru. Namun, tidak ada guna gedung yang besar jika tiada manusia dalam gedung itu.

“Apa yang penting adalah pengisian. Masjid perlu berperanan sebagai pusat pencerahan dan aktiviti sosial umat Islam ke arah membina jati diri Muslim,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Masjid dan Surau negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata keupayaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar kepada JAIS itu membuktikan Kerajaan Negeri mempunyai kekuatan ekonomi yang kukuh.

Katanya, ia hasil daripada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan mengamalkan prinsip integriti.

Mengulas penganjuran konvensyen itu, beliau berkata ia menjadi wahana pimpinan institusi Islam itu dalam memperkukuhkan nilai integriti.

“Konvensyen julung kali diadakan ini membincangkan secara meluas berkenaan peranan dan tanggungjawab apabila seseorang diberikan amanah.

“Bagaimana peranan kita (Nazir) berdepan dengan cabaran khazanah diselewengkan. Ini masa dan kita mempunyai pendirian jelas patuh kepada tuntutan agama,” katanya.

Sehingga April 2018, terdapat sebanyak 2015 surau dan 420 masjid di Selangor.

=EZY=


Pengarang :