SELANGOR

MB: Projek rumah Selangorku sudah lama dilulus bukan lepas bubar

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 18 APR: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan projek rumah Selangorku Idaman PKNS di Kampung Seri Temenggung, di sini, diluluskan selepas Dewan Negeri Selangor (DNS) dibubarkan.

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar itu berkata, kelulusan bagi projek itu telah diberikan lama dahulu termasuk pendaftaran untuk pembeli yang berminat memiliknya seawal 2015 lalu.

“Ini bukan keputusan baharu dan kelulusan untuk membangunkan rumah Selangorku ini bukan dibuat pagi ini atau semalam.

“Sebagai Kerajaan Negeri sementara, saya tidak akan memberi sebarang kelulusan,” katanya dalam majlis pecah tanah rumah Selangorku Idaman PKNS itu, semalam.

Bagaimanapun, katanya, bagi menjayakan projek berkenaan, PKNS perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Katanya, kedua pihak telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu tahun lalu dan pembangunan projek berkaitan telah diluluskan selepas itu.

Terdapat dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Negeri memberi kelulusan segera kepada pembangunan dilancarkan selepas pembubaran DNS bertujuan memancing undi untuk pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memajukan projek pembangunan rumah Selangorku itu dengan jalinan kerjasama syarikat swasta, Rexpoint Resources Sdn Bhd.

Sebanyak 420 unit dibangunkan bagi fasa pertama dan 248 unit (fasa kedua) di kawasan seluas 8.5 ekar lengkap dengan kemudahan kepada pembeli apabila siap menjelang 2021 bagi fasa pertama.

Harga ditawarkan bermula RM100,000 hingga RM220,000.

Hadir sama, Exco Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad; Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

=EZY=


Pengarang :