SELANGOR

MB puas hati prestasi KDEBWM

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: Prestasi membanggakan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dalam menguruskan sisa pepejal, di negeri ini mendapat pujian Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan rasa gembira dengan peranan KDEBWM yang disifatkan berjaya menangani masalah sampah, di beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

“Saya melihat peranan KDEBWM walaupun di kawasan industri tetapi masih dapat menjaga kebersihan dan kesejahteraan rakyat.

“Sejak KDEBWM mengambil alih beberapa PBT di negeri ini tahun lalu, saya melihat pengurusan yang baik dan masalah sampah tidak lagi timbul.

“Aduan juga turun dengan drastik, saya bangga dengan prestasi KDEBWM kerana menyahut cabaran untuk membangunkan negeri yang bersih,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Majlis Daerah Kuala Langat dan Penyerahan Lori Arm Roll, di sini.

Terdahulu, Mohamed Azmin memberi jaminan akan menjadikan Selangor negeri terbersih, di Malaysia melalui KDEBWM yang menggalas tanggungjawab itu.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri melalui pegangan saham di dalam Pemerbadanan Menteri Besar.

Syarikat itu diberi tanggungjawab melakukan kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, di Selangor secara berperingkat.

 


Pengarang :