SELANGOR

MB-PUU bincang, jamin rakyat selesa mengundi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sedang berbincang dengan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengambil langkah seterusnya bagi membolehkan rakyat Selangor keluar mengundi secara teratur, 9 Mei depan.

Katanya, tindakan terbabit dilakukan selepas melihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bertanggungjawab dalam menentukan tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya sudah berbincang dengan kamar Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengambil langkah selaras perlembagaan bagi membolehkan rakyat Selangor keluar undi secara teratur dan dipermudahkan urusan itu.

“Kita juga melihat komen dan ulasan orang awam tidak berpuas hati dan dinafikan hak.

“Jadi, kita perlu meneliti dari sudut Perlembangan sebelum membuat satu pengumuman,” katanya ketika diminta mengulas tindakan yang akan diambil Kerajaan Negeri berhubung hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja.

Terdahulu, Mohamed Azmin mahu melaksanakan dan menjamin hak rakyat di Selangor dapat mengundi dalam keadaan selesa dan teratur.

Tindakan SPR menetapkan hari bekerja sebagai hari mengundi membuktikan badan itu gagal bertindak secara adil dan bebas dalam melaksanakan pilihan raya negara ini.

Ia sekali gus, menafikan hak asasi seorang warganegara melaksanakan tanggungjawab demokratik untuk mengundi bagi menentukan masa depan negara.


Pengarang :