SELANGOR

MB: Rakyat bakal nikmati 300 juta liter air sehari

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 20 APR : Rakyat di Selangor bakal menikmati 300 juta liter sehari lebihan air terawat bermula awal tahun depan selepas projek Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang, Jugra disiapkan hujung tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, LRA Labohan Dagang itu bakal membekalkan 200 juta liter sehari sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk sekitar.

Katanya, LRA Semenyih 2 yang sudah siap baru-baru ini pula membekalkan 100 juta liter air sehari sekali gus menjadikan sejumlah 300 juta liter air terawat akan disediakan.

“Semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini saya sudah jawab segala tohmahan mengenai Selangor kekurangan bekalan air adalah sama sekali tidak benar.

“Bekalan air terawat kita mencukupi dan ia dapat memenuhi keperluan industri dan domestik Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik dan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Dewan Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin berharap projek LRA Labohan Dagang itu dapat disiapkan mengikut jadual dan pembangunan dijalankan tidak menjejaskan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kawasan sekitar.

Terdahulu, Mohamed Azmin turut melawat tapak projek LRA Labohan Dagang untuk melihat perkembangan terkini serta memastikan kontraktor bertanggungjawab melaksanakan kerja mengikut piawaian ditetapkan.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Azmie Diron dan Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Amin Ahya.

LRA Labohan Dagang dengan kos keseluruhan sekitar RM500 juta itu dibangunkan sebagai inisiatif mengurangkan kebergantungan daerah Kuala Langat kepada bekalan air bersih dari Sungai Semenyih, Sungai Selangor dan Sungai Labu.

Keberkesanan projek itu juga mampu menyalurkan 200 JLH air bersih dan boleh bertahan selama 75 hari sekiranya berlaku kemarau panjang.

Pembinaan loji rawatan berkenaan dibuat dibangunkan di kawasan kolam bekas lombong yang dikenali sebagai MC 8 dan MC 9 sebagai sumber mentah baru air Selangor.


Pengarang :