AGAMABERITA UTAMASELANGOR

MB sambut baik usaha JAIS turut bangunkan Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 APR: Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengangkat dasar Kerajaan Negeri untuk turut serta merealisasikan hasrat ke arah Smart State 2025.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan ‘Smart Technology’ yang diguna pakai di semua jabatan membolehkan pengurusan masjid juga ditadbir dengan lebih baik.

Katanya, aplikasi yang dinamakan Smart Masjid itu membolehkan kerja-kerja penyediaan laporan, akses kewangan dan pelbagai aktiviti surau dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan efektif.

“Saya gembira JAIS menyambut dasar Kerajaan Negeri untuk bersama membangunkan Smart State.

“Aplikasi ini membolehkan pengurusan masjid mentadbir masjid dan surau dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Masjid dan Surau negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohamed Azmin berkata inisiatif pelaksanaan aplikasi Smart Masjid itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggunakan Smart Aplikasi dalam penyelesaian ummah ketika ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin turut melancarkan aplikasi Smart Masjid @ Masjid Ku Rumah Kedua yang boleh dimuat turun di Google Playstore.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, Selangor sebagai negeri maju di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhasrat merealisasikan gagasan Smart Selangor.

Justeru, katanya, inisiatif itu selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dan wajar disokong sepenuhnya, lebih lagi oleh pegawai masjid sendiri.

=EZY=

 


Pengarang :