BERITA UTAMASELANGOR

MB serah borang pencalonan, laungan Reformasi sahut calon KEADILAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 APR : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan borang permohonan pencalonan P0.98 Parlimen Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini.

Borang pencalonan diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen P0.98, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, jam 9.05 pagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden KEADILAN itu yang lengkap berbaju Melayu biru muda tiba di pusat penamaan calon diiringi lebih 5,000 penyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) pada, jam 8.45 pagi ini.

Kehadiran Mohamed Azmin turut disambut dengan laungan Reformasi penyokong-penyokong parti berkenaan.

P0.98 bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamed Azmin dengan Calon PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin dan Calon Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahim Pandak Kamarudin.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga lagi calon Pakatan Harapan (PAKATAN) turut menyerahkan borang pencalonan, pagi ini.

Tiga calon berkenaan adalah Hilman Idham (KEADILAN) bagi kerusi N.17 Gombak Setia, Saari Sungip (AMANAH) di kerusi N.18 Hulu Kelang dan Amirudin Shari (KEADILAN) bagi kerusi N.13 Sungai Tua.

 

=EZY=


Pengarang :