SELANGOR

MB: Setinggi penghargaan, terima kasih kepada rakyat Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 8 APR: Sokongan dan kerjasama diberikan rakyat Selangor kepada dasar dan pembangunan disifatkan sebagai aset terpenting yang membawa kejayaan negeri termaju itu.

Justeru Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada sokongan padu yang diberikan kepada Kerajaan Negeri selama ini.

“Sokongan diberikan rakyat terhadap pembangunan dijalankan Kerajaan Negeri amat baik dan saya beri jaminan Kerajaan Negeri yang ada hari ini akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab demi rakyat Selangor ini.

“Untuk maksud itu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Selangor khususnya dalam Parlimen Pandan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka, Teratai, dalam Parlimen Ampang yang telah secara langsung dan bertahun-tahun memberikan sokongan kuat dan padu untuk bersama-bersama membangunkan Selangor yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Stadium MPAJ di sini, hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan pembangunan di negeri itu bagi memastikan rakyatnya dapat hidup sejahtera dan selesa.

Katanya, hal itu boleh dilihat apabila beliau memperuntukkan belanja pembangunan lebih tinggi berbanding belanja pengurusan dalam belanjawan tahunan yang dibentangnya sebelum ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin merasmikan Stadium Mni MPAJ di hadapan lebih 6,000 hadirin.


Pengarang :