BERITA UTAMASELANGOR

MB: SPR nafi hak asasi warganegara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari bekerja sebagai hari mengundi membuktikan badan itu gagal bertindak secara adil dan bebas dalam melaksanakan pilihan raya negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan tu juga menafikan hak asasi seorang warganegara melaksanakan tanggungjawab demokratik untuk mengundi bagi menentukan masa depan negara.

“Pagi ini, saya juga terpanggil untuk membicarakan persoalan ‘constitutional rights of the citizen’, hak warganegara yang termaktub dalam perlembagaan.

“Saya kesal dengan tindakan SPR melaksanakan pilihan raya pada hari bekerja, hari rabu bersamaan 9 Mei 2018.

“Mengapa tarikh itu dipilih? Saya juga yakin persoalan ini ditanya dan di tunggu oleh rakyat Malaysia,” katanya di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, tindakan SPR itu turut menafikan hak asasi seorang warganegara laksanakan demokratik dalam tentukan masa depan negara.

“Begitu juga, ada 500,000 pengundi bekerja di Singapura. Bagaimana hak mereka sebagai warganegara untuk menjalani tanggungjawab ini?

“Apa muslihat sebalik tarikh ini? Sebagai sebuah kerajaan, saya akan melaksanakan dan menjamin hak rakyat mengundi selesa serta teratur.

“Hak rakyat Malaysia dan Selangor memerlukan akses proses mengundi teratur dan aman,” katanya.


Pengarang :