SELANGOR

MB tunjuk kasih sayang sesama insan – VKU ATM

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 24 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terus menyantuni veteran kurang upaya (VKU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dalam lawatan kerja dan menyantuni penduduk Kuala Selangor, semalam.

Sejurus menyerahkan sumbangan kepada 2,357 penerima Inisiatif Peduli Rakyat, Mohamed Azmin ke Bandar Baru bagi menyerahkan bantuan kepada Rosli Shahar.

Beliau menyampaikan sumbangan kebajikan, kesihatan dan pendidikan.

Mohamed Azmin berkata, usaha itu adalah agenda mingguan Kerajaan Negeri, menyantuni warga veteran ATM yang banyak berkorban mempertahankan kedaulatan negara.

“Ini adalah sebahagian daripada penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan anggota ATM dalam menjaga keselamatan dan memelihara kedaulatan negara.

“Kita dapati veteran angkatan tentera umumnya berada dalam keadaan yang perlu mendapatkan perhatian dan Kerajaan Negeri cuba memenuhinya supaya nasib mereka terbela,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Rosli menyifatkan Mohamed Azmin seorang berhati mulia dan mengambil berat VKU yang memerlukan perhatian.

“Saya sangat terharu kerana sempat berjumpa dengan Mohamed Azmin. Sukar menggambarkan perasaan gembira ini.

“Ini menunjukkan beliau bukan sahaja Dato’ Menteri Besar yang prihatin tetapi kasih sayangnya terhadap insan seperti kami,” katanya yang merupakan pesara tentera laut sejak 1996.

Menerusi Belanjawan Selangor 2017, RM1 juta diperuntukkan bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera.

Sebahagian daripadanya disampaikan secara terus menerusi program ziarah yang diadakan, pada setiap minggu menerusi Program Turun Padang yang diadakan secara bergilir di setiap daerah.

Sementara itu, baki RM500,000 pula diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM.


Pengarang :