SELANGOR

MB ucap selamat bertanding PRU-14 kepada semua Exco

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 APR: Barisan exco di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berjaya membuktikan perbezaan politik bukan penghalang untuk duduk semeja bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, malahan Mohamed Azmin turut mengucapkan selamat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada semua exco.

Katanya, ucapan itu dizahirkan Mohamed Azmin pada mesyuarat terakhir Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pagi tadi.

“Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat bertanding kepada semua Exco dan berharap mempertahankan prinsip-prinsip dibawa Kerajaan Negeri selama ini.

“Kami dapat duduk semeja kerana kami mengutamakan kepentingan rakyat dan melupakan perbezaan politik,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri memegang prinsip memberi pembelaan dan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding politik kepartian.

Kerajaan Negeri ditadbir Barisan Alternatif dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas berjaya menyingkirkan Barisan Nasional (BN) pada PRU-12 pada 2008.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri pada September 2014 berjaya mengemudi Kerajaan Negeri dalam satu pasukan yang padu.

Rata-rata penganalisis politik pada masa itu menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang menakjubkan dan amat sukar untuk direalisasikan oleh kebanyakkan pihak lain.


Pengarang :